Beberapa pemain baharu dibawa masuk, perkukuh Kuching City FC

foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengesahkan hampir keseluruhan tonggak musim lalu akan terus dikekalkan bagi menghadapi saingan musim baharu, dengan hanya beberapa penambahan akan dilakukan bagi memperkukuhkan pasukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengekalkan kira-kira 90 peratus daripada skuad musim lalu bagi memastikan kestabilan.
  • Menandatangani beberapa pemain baharu untuk mengisi kekurangan posisi pasukan.
  • Penambahan pemain penting kerana Kuching City akan beraksi dalam tiga kejohanan utama, termasuk ACL 2 dan Piala Shopee.
  • Sasaran musim belum dimuktamadkan, perbincangan bersama pengurusan dan presiden akan diadakan.

Menurut Aidil, selepas mengumumkan sembilan pemain dikekalkan, kelab itu merancang untuk mengekalkan kira-kira 90 peratus daripada skuad sedia ada sebelum membawa masuk beberapa pemain baharu bagi mengisi kekurangan dalam pasukan.

“Memang kita baru mengumumkan sembilan pemain yang dikekalkan. Tetapi kita akan mengekalkan kira-kira 90 peratus daripada skuad musim lalu.

“Pada masa sama, kita akan menandatangani beberapa pemain baharu untuk mengisi kekurangan yang ada dalam pasukan,” katanya.

Beliau berkata, penambahan pemain itu penting memandangkan Kuching City bakal mengharungi tiga kejohanan utama musim depan yang memerlukan skuad lebih mantap dan memiliki pilihan pemain lebih luas.

“Kerana kita akan bermain dalam ACL 2 dan Piala Shopee. Jadi kita memang perlu menambah pemain,” katanya.

Mengulas sasaran pasukan bagi musim baharu, Aidil berkata perkara itu masih belum dimuktamadkan kerana beliau perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu bersama pihak pengurusan dan presiden kelab.

“Sasaran musim depan belum diputuskan lagi kerana saya masih belum duduk berbincang dengan pihak pengurusan dan presiden.

“Kita ada tiga pertandingan besar, jadi insya-Allah kita akan mengadakan mesyuarat dan cuba merancang yang terbaik untuk musim depan,” katanya.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.