
INDIA, 24 Jun – China bersedia memperkukuh koordinasi strategik komprehensif dengan Rusia bagi memacu pembangunan kedua-dua negara, sekali gus menyumbang kepada keamanan sejagat melalui platform BRICS.
- Wang Yi menegaskan BRICS penting bagi mengamalkan multilateralisme dan menegakkan keadilan dalam urusan antarabangsa.
- Kedua-dua negara digesa memperluas mekanisme BRICS untuk menjadikannya peneraju Selatan Global serta menangani cabaran keselamatan bersama.
- Shoigu menyeru pengukuhan kepercayaan bersama bagi menangkis campur tangan luar, menentang kebangkitan ketenteraan Jepun dan menjaga keamanan serantau.
Kenyataan itu dizahirkan Pengarah Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Pusat Parti Komunis China, Wang Yi ketika mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia, Sergei Shoigu di India, pada Selasa.
Kedua-duanya berada di New Delhi bagi menghadiri Mesyuarat ke-16 Penasihat Keselamatan Negara dan Wakil Kanan Keselamatan Negara BRICS.
Mengimbas kembali dua kenyataan bersama yang dimeterai pada Mei lepas, Wang berkata China sedia bekerjasama dengan Rusia bagi melaksanakan konsensus penting yang dicapai oleh negara masing-masing demi pembangunan kemanusiaan yang aman.
Beliau turut menegaskan peranan BRICS sebagai platform penting masyarakat antarabangsa dalam mengamalkan multilateralisme serta menegakkan keadilan.
Wang juga menggesa kedua-dua negara memperkukuh kerjasama bagi memperluaskan mekanisme blok berkenaan untuk menjadikannya sebagai peneraju Selatan Global.
Sementara itu, Shoigu berkata hubungan akrab yang berterusan antara ketua negara Rusia dan China menjadi jaminan asas kepada pembangunan mampan hubungan dua hala, selain membuktikan keunikan hubungan peringkat tinggi kedua-dua belah pihak.
Beliau turut menyeru agar kepercayaan bersama dipereratkan bagi mengekang campur tangan serta penyusupan kuasa luar dalam bidang keselamatan, selain menentang sebarang usaha Jepun untuk menghidupkan semula ketenteraan.
Rusia juga, katanya, sedia meningkatkan koordinasi strategik dengan China dalam mekanisme multilateral seperti BRICS demi bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan di peringkat serantau mahupun global. -REUTERS