
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai pada 26 Oktober tahun lalu masih belum diratifikasi oleh kedua-dua negara.
- Mahkamah Agung AS memutuskan pengenaan tarif timbal balas di bawah IEEPA adalah tidak sah.
- Keputusan itu membatalkan tarif 19 peratus yang sebelum ini dikenakan terhadap Malaysia.
- AS mengumumkan tarif global sementara 10 peratus di bawah Seksyen 122, berkuat kuasa selama 150 hari.
- MITI akan meneruskan rundingan dengan USTR bagi memastikan kepentingan serta pandangan Malaysia dipertimbangkan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Mahkamah Agung AS pada 20 Februari lalu memutuskan bahawa pengenaan tarif timbal balas di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) adalah tidak sah di sisi undang-undang.
“Ini termasuk tarif 19 peratus yang dikenakan terhadap Malaysia sebelum ini,” jelas beliau ketika sesi soal jawab mengenai status terkini pelaksanaan ART antara Malaysia dan AS di Dewan Rakyat.
“Berikutan keputusan Mahkamah tersebut, pengenaan tarif timbal balas di bawah IEEPA adalah terbatal. Bagi memastikan tarif tambahan terus dikenakan oleh kerajaan AS, mereka telah mengumumkan satu tarif global sementara pada kadar 10 peratus ke atas barangan yang diimport oleh AS di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974.
Ia bersifat sementara. Seksyen ini dikenakan kerana ada had maksimum iaitu cuma boleh dikenakan kepada semua negara yang berdagang dengan AS. Hanya 10 peratus untuk 150 hari sahaja…jadi kalau kita tengok ketika AS kenakan kita pada 24 Februari 2026, maka tarikh tamat tarif 10 peratus di bawah seksyen berkenaan akan berakhir pada 24 Julai tahun ini,” tambah beliau lagi.
Beliau berkata sebagai usaha untuk menjadikan tarif sebagai instrumen yang kekal dan sah dalam menangani isu defisit dalam imbangan pembayaran pada 11 dan 12 Mac lepas, AS melalui Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 301, Akta Perdagangan 1974 terhadap beberapa negara rakan dagang termasuk Malaysia.
Kerajaan melalui MITI akan meneruskan rundingan dengan pihak USTR bagi memastikan kepentingan negara serta pandangan Malaysia diberi pertimbangan sewajarnya sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Penjelasan ini menjawab pertanyaan asal dikemukakan wakil Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang ingin mengetahui status terkini pelaksanaan Perjanjian ART antara Malaysia dan Amerika Syarikat.