
ARLINGTON, 23 Jun – Kapten Argentina, Lionel Messi, menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas Austria dalam aksi Piala Dunia 2026 sebagai perlawanan yang sangat mencabar dari aspek fizikal, meskipun skuad La Albiceleste berjaya mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik.
- Messi menjaringkan kedua-dua gol dan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dengan 18 gol.
- Kemenangan memberi Argentina enam mata daripada dua perlawanan dan mengesahkan mereka sebagai juara kumpulan lebih awal.
- Prestasi konsisten Messi memastikan dia masih sandaran utama Argentina dan menunjukkan usia bukan penghalang untuk sejarah baru.
Messi, yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-39 dalam tempoh dua hari lagi, sekali lagi mencipta sejarah apabila menjaringkan kedua-dua gol kemenangan Argentina untuk muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dengan 18 gol.
“Kami berdepan perlawanan yang sangat fizikal dan sukar, dengan intensiti yang tinggi.
“Pada beberapa ketika, agak sukar untuk kami menguasai bola dalam tempoh yang lama disebabkan faktor itu, tetapi saya fikir kami berjaya mengharungi perlawanan yang sangat penting ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan hari ini.
Dua jaringan tersebut membolehkan Messi mengatasi rekod terdahulu dan menambah satu lagi pencapaian gemilang dalam karier yang sarat dengan kejayaan bersama Argentina.

Kemenangan ke atas Austria menyaksikan Argentina mengumpul enam mata daripada dua perlawanan Kumpulan J, sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik dengan baki satu perlawanan.
Malah, keputusan itu turut memastikan juara dunia berkenaan muncul sebagai juara kumpulan lebih awal, sekali gus mencapai sasaran pertama mereka dalam kempen Piala Dunia kali ini.
Prestasi konsisten Messi terus menjadi sandaran utama Argentina dalam usaha memburu satu lagi kejuaraan dunia, ketika legenda hidup bola sepak itu membuktikan usia bukan penghalang untuk terus mencipta sejarah di pentas tertinggi dunia. – REUTERS