Kerjasama tenaga Petronas perkukuh pendapatan negara, daya saing ekonomi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Penglibatan lebih besar Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Turkmenistan serta kerjasama tenaga dengan Rusia dijangka memberi pulangan strategik kepada ekonomi negara, khususnya dari segi pendapatan kerajaan, kestabilan fiskal serta peningkatan daya saing Malaysia dalam sektor industri berasaskan tenaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akses pendapatan antarabangsa Petronas diperkuat, menyokong keuntungan syarikat dan pembayaran dividen kepada kerajaan.
  • Mempromosikan pelaburan silang dalam gas asli, petrokimia, teknologi tenaga, kejuruteraan dan perkhidmatan sokongan.
  • Bekalan tenaga yang stabil meningkatkan daya saing industri pembuatan, semikonduktor, pusat data, petrokimia dan eksport.
  • Malaysia mesti terus mempelbagaikan sumber tenaga kerana ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan di laluan perdagangan utama.

Setiausaha Pertubuhan Penganalisis Teknikal Malaysia, Muhammad Azmi Mohd Amin berkata, selain penyumbang utama pendapatan negara Petronas juga berpotensi mengukuhkan akses kepada pendapatan antarabangsa yang seterusnya menyokong keuntungan syarikat, sebelum diterjemahkan kepada pembayaran dividen kepada kerajaan.

“Jadi apabila mereka mempunyai portfolio yang lebih kukuh di luar negara ini, ia akan memberi kestabilan kepada fizikal negara.

“Kita boleh lihat dari segi pelaburan, di mana kita boleh mempromosikan pelaburan silang, bukan sekadar dalam minyak dan gas, malah turut melibatkan gas asli, petrokimia, teknologi tenaga, kejuruteraan serta perkhidmatan sokongan.

“Selain itu kita juga boleh lihat dari segi daya saing Malaysia, termasuk industri pembuatan, semikonduktor, pusat data, petrokimia dan eksport, yang kesemuanya memerlukan bekalan tenaga yang stabil,” katanya ketika dihubungi RTM.

Dalam pada itu, Malaysia masih perlu meneruskan usaha mempelbagaikan sumber tenaga walaupun terdapat perkembangan positif dalam ketegangan geopolitik global termasuk perjanjian damai antara Amerika Syarikat dan Iran yang hanya memberi kelegaan jangka pendek kepada pasaran minyak dunia.

Ketidaktentuan geopolitik serta risiko gangguan bekalan di laluan perdagangan utama seperti Selat Hormuz kekal menjadi faktor kritikal dalam memastikan keterjaminan tenaga negara.

Kerjasama strategik Petronas dalam sektor tenaga dengan Turkmenistan yang memiliki antara rizab gas asli terbesar dunia serta penerokaan kerjasama dengan Rusia sebagai antara pengeluar utama minyak dilihat sebagai langkah penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber tenaga sahaja.

“Langkah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan kerjasama ini bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, tetapi juga membina sumber tenaga yang lebih stabil untuk masa hadapan,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.