
ARAU, 22 Jun – Tahap kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kompetitif serta keupayaan institusi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi
bagi memenuhi keperluan industri dan pembangunan negara terus memberi keyakinan terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan politeknik dan kolej komuniti.
- KPT memastikan institusi TVET sedia menyediakan akses pendidikan berkualiti, kemudahan selesa dan pengalaman pembelajaran selaras dengan Malaysia MADANI.
- Lebih ramai pelajar memilih politeknik kerana pembelajaran berorientasikan industri, praktikal dan memenuhi jangkaan selepas menamatkan pengajian.
- Lawatan ke PTSS meninjau kelancaran pendaftaran, kesiapsiagaan kemudahan kampus serta kebajikan pelajar baharu.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata,Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memastikan institusi TVET negara sentiasa bersedia menyediakan akses pendidikan berkualiti, kemudahan yang selesa serta pengalaman pembelajaran terbaik kepada pelajar selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda pemerkasaan TVET negara.
“Peningkatan yang amat ketara dapat dilihat apabila anak-anak kita kini lebih cenderung memilih politeknik. Mungkin terdapat kelebihan di situ kerana proses pembelajaran di politeknik lebih berorientasikan industri dan bersifat praktikal.
“Selain itu, ia juga memenuhi jangkaan mereka tentang apa yang akan diperoleh selepas mengikuti sesi pembelajaran di politeknik. Perkara ini jelas menunjukkan satu nilai positif yang dapat kita tawarkan kepada anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan kerja sempena Hari Pendaftaran 1,100 Pelajar Baharu Sesi I 2026/2027 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah dan Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Khairul Anuar Ishak.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau kelancaran proses pendaftaran pelajar baharu, kesiapsiagaan kemudahan kampus serta kebajikan pelajar yang
memulakan pengajian di PTSS.
PTSS kini mempunyai seramai 3,592 pelajar aktif yang terdiri daripada 3,483 pelajar diploma dan sijil serta 109 pelajar Program Asasi TVET.