
PETALING JAYA , 20 Jun – Pemain muda Persatuan Tenpin Boling Pulau Pinang, Muhammad Adib Razali muncul juara dalam kategori Graded Remaja Lelaki pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.
- Malaysia mendominasi kedua-dua kategori remaja, meraih kesemua kedudukan podium di Sunway Mega Lanes.
- Kategori Graded Remaja Lelaki turut disertai pemain dari Jepun dan Singapura, menambah elemen persaingan antarabangsa.
- Kejohanan mengesahkan Malaysia tidak ketandusan pemain pelapis; tiga kategori lagi akan dipertandingkan pada Sabtu.
Muhammad Adib mengumpul 1,812 jatuhan pin selepas bersaing sengit dengan rakan senegara Muhammad Hadiff M.Haniff yang muncul sebagai naib juara dengan pungutan 1,791 pin.
Seorang lagi wakil negara, Muhammad Danish Hakim Fadzilah yang mewakili Persatuan Tenpin Boling Negeri Sabah melengkapkan kedudukan tiga terbaik selepas mencatat 1,757 pin bagi keseluruhan lapan permainan.
Kategori tersebut turut disertai 21 pemain lain termasuk dari Jepun dan Singapura.
Sementara itu, bagi kategori Graded Remaja Perempuan pula menyaksikan semua peserta Malaysia dengan Nur Fathi Fatihah Mohammad Zakry berjaya mengungguli kategori itu selepas mengumpul 1,698 jatuhan pin.
Pemain berbakat dari Sarawak itu berjaya mengatasi Dhia Irdina Zahra Mohd Hazrin dengan kelebihan 18 pin, 1,680 pin.
Tempat ketiga pula menjadi milik Nurul Aisyah Salleh yang juga dari Malaysia dengan mengumpul 1,619 pin.
Kejohanan yang berlangsung di Sunway Mega Lanes itu menyaksikan Malaysia meraih kesemua kedudukan podium yang dipertandingkan dalam kedua-dua kategori berkenaan.
Ia sekali gus membuktikan Malaysia tidak ketandusan pemain pelapis bagi mewakili negara bagi menyertai kejohanan ke peringkat antarabangsa.
Pada Sabtu, tiga lagi kategori akan dipertandingkan termasuk Remaja Lelaki dan Wanita Terbuka Master, Kategori Kanak-Kanak Bawah 12 Tahun serta kategori Lelaki dan Wanita Graded Master.