
SHAH ALAM, 16 Jun – Prorgam Baucar KitaSelangor masih belum dibuka untuk permohonan, dan orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada terhadap sebarang khidmat pesanan ringkas (SMS) atau mesej, dan tidak menekan pautan mencurigakan yang diterima daripada sumber tidak sah berhubung insentif tersebut.
- Dapatkan maklumat hanya melalui saluran rasmi kerajaan negeri; elakkan maklumat tidak disahkan.
- Penerima layak akan menerima SMS berperingkat mulai 23 Jun untuk sahkan maklumat dan mohon melalui Portal Baucar KitaSelangor.
- Orang ramai dinasihatkan menunggu pengumuman rasmi kerajaan negeri pada 22 Jun sebelum mengambil tindakan.
- Sebanyak 50,000 keluarga akan menerima RM100 sebulan selama enam bulan bermula 30 Jun.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menerusi kenyataan hari ini memaklumkan peringatan itu adalah bertujuan mengelakkan mana-mana individu menjadi mangsa penipuan dalam talian berhubung program yang akan dilaksanakan.
“Untuk makluman, program Baucar KitaSelangor pada masa ini masih belum dibuka untuk permohonan umum.
“Sehubungan dengan itu, orang ramai disaran mendapatkan maklumat berkaitan program ini hanya melalui saluran rasmi kerajaan negeri dan tidak mudah terperdaya dengan sebarang maklumat yang tidak disahkan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan penerima yang layak akan menerima SMS secara berperingkat bermula 23 Jun bagi membolehkan mereka membuat pengesahan maklumat dan mengemukakan permohonan melalui Portal Baucar KitaSelangor berserta dokumen sokongan yang diperlukan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menunggu pengumuman rasmi kerajaan negeri yang akan dibuat pada 22 Jun sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan program ini,” menurut kenyataan itu.
Program bantuan itu akan dilaksanakan secara bersasar kepada kumpulan penerima yang telah dikenal pasti berdasarkan data dan senarai yang dibekalkan oleh agensi berkaitan.
“Antara kumpulan yang terlibat ialah isi rumah miskin dalam pangkalan data eKasih, pekerja yang diberhentikan kerja, golongan rentan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta ibu tunggal yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari semalam dilaporkan berkata sebanyak 50,000 keluarga kurang berkemampuan di Selangor bakal menerima bantuan tunai RM100 sebulan selama enam bulan menerusi inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 bermula 30 Jun ini.
Amirudin berkata bantuan itu adalah antara inisiatif di bawah pakej berjumlah RM140 juta yang diumumkan kerajaan negeri pada 16 April lepas dalam usaha membantu rakyat menghadapi ketidaktentuan ekonomi global serta tekanan kos sara hidup ketika krisis bekalan global.