
GEORGE TOWN, 15 Jun – Kerajaan negeri Pulau Pinang mempunyai aspirasi meletakkan 30 peratus calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
- Kerajaan negeri berhasrat menampilkan lebih ramai calon wanita dalam pilihan raya walau bilangan bergantung kepada cabaran.
- Pucuk kepimpinan memberi perhatian utama kepada usaha memartabatkan status wanita di Pulau Pinang.
- Perlu menangani isu kekurangan calon wanita supaya terdapat bilangan mencukupi untuk diketengahkan.
- Kerajaan fokus angkat ekonomi wanita melalui JPWK di semua DUN dan Program Jana Rezeki.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu antara cadangan yang diberi perhatian utama oleh pucuk pimpinan dan salah satu pendekatan kerajaan negeri dalam memartabatkan status wanita di Pulau Pinang.
“Itu memang hasrat kita. Setiap kali pilihan raya, kita akan menampilkan calon-calon wanita, tetapi bilangannya tertakluk kepada cabaran yang dihadapi.
“Namun, kita (kerajaan negeri) mempunyai aspirasi untuk melihat lebih ramai calon wanita diketengahkan, namun perlu ada jumlah calon yang mencukupi untuk dipilih.
“Ini merupakan isu yang perlu ditangani,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Wanita dan Ekonomi 2026 Zon Asia Pasifik di sini.
Menurut beliau, dalam usaha mengangkat status wanita dalam ekonomi negeri, kerajaan Pulau Pinang memberi tumpuan kepada pelaksanaan program menerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) di kesemua 40 Dewan Undangan Negeri (DUN), selain menerusi Program Jana Rezeki.