
KUALA TERENGGANU, 15 Jun – Kadar pengangguran negara yang kekal berada di bawah paras 3.5 peratus membuktikan Malaysia masih berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi yang positif dan stabil, meskipun terpaksa berhadapan dengan tekanan ketidaktentuan global.
- Pasaran buruh kini mencapai tahap guna tenaga penuh selepas kadar pengangguran dicatat sekitar tiga peratus pada April.
- Pencapaian jauh lebih baik berbanding semasa pandemik COVID-19 apabila kadar pengangguran hampir enam peratus.
- Prestasi eksport mencatat pertumbuhan dua digit, menunjukkan sektor perdagangan luar kekal mampan dan kompetitif.
- Semua pihak perlu terus memperkukuh daya tahan ekonomi bagi menghadapi sebarang kejutan ekonomi luar jangka.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh domestik kini berada pada tahap guna tenaga penuh (full employment) selepas Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan kadar pengangguran berada pada paras tiga peratus April lalu.
Menurut beliau, pencapaian itu jauh lebih baik berbanding ketika pandemik COVID-19 melanda negara yang menyaksikan kadar pengangguran melonjak hampir enam peratus, selain disokong oleh prestasi perdagangan yang kukuh serta kadar inflasi yang terkawal.
“Dulu antara ingatan saya sebagai yang mengetuai DOSM ini, bila kita mengumumkan kadar pengangguran sampai dekat enam peratus hampir masa COVID-19 dulu. Tetapi sekarang saya jangka kita masih lagi berada dalam keadaan yang baik.
“Sebenarnya anything (apa-apa kadar) yang bawah 3.5 peratus dia panggil full employment (guna tenaga penuh). Sebenarnya kita dah lebih daripada full employment dah sekarang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program DOSM di sini.
Mengulas lanjut mengenai prestasi semasa, Mohd Uzir berkata eksport negara turut mencatatkan pertumbuhan dua digit yang membuktikan sektor perdagangan luar negara kekal mampan dan kompetitif.
Sehubungan itu, Mohd Uzir menegaskan bahawa tahap daya tahan ekonomi negara perlu terus diperkukuh dan dipertingkatkan oleh semua pihak bagi memastikan negara bersedia menghadapi sebarang kejutan ekonomi luar jangka pada masa hadapan.