Hijrah Selangor sasar 4,000 usahawan dapat manfaat program HIGHub

Pelancaran Program Hijrah Innovation & Growth Hub (HIGHub) di Ruang Daya Cipta Sabak Bernam/ BERNAMA

SUNGAI BESAR, 14 Jun – Yayasan Hijrah Selangor menyasarkan lebih 4,000 usahawan mendapat manfaat menerusi program Hijrah Innovation and Growth Hub ( HIGHub) menjelang tahun 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkasakan usahawan luar bandar melalui pendigitalan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan.
  • HIGHub sebagai hab pembangunan menyediakan latihan, kemudahan digital, khidmat perundingan dan jaringan pasaran lebih luas.
  • Rancang diperluas ke Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat serta tawarkan program pemasaran digital, e-dagang dan literasi kewangan.

Ia dalam usaha memperkasakan komuniti usahawan luar bandar melalui pendigitalan dan teknologi kecerdasan buatan.

Exco Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata, program perintis yang dilaksanakan di Sabak Bernam itu menjadi hab pembangunan usahawan yang menyediakan latihan keusahawanan, kemudahan digital, khidmat perundingan serta peluang jaringan pasaran yang lebih luas.

Beliau berkata HIGHub merupakan transformasi baharu Hijrah Selangor daripada sekadar penyedia pembiayaan mikro kepada pemangkin pembangunan kapasiti dan teknologi usahawan.

“Usahawan-usahawan di bandar ini memang biasanya agak kukuh, mereka mempunyai kemudahan dari segi jaringan akses wifi, studio, mungkin di rumah pun mereka boleh buat. Tetapi kalau di luar bandar ada keterbatasan. Sebab itu kita sediakan hab ini.

“Contohnya usahawan yang hendak buat promosi boleh guna tempah, boleh guna pakai. Ada kamera, live streaming sekarang ini. Itu antara strategi ataupun kaedah pemasaran yang paling efektif. Dahulu kita perlu ada premis untuk meniaga. Mungkin sekarang ini orang boleh meniaga di rumah, tidak perlu ada kedai.

“Hanya perlu mendapatkan barangan kemudian untuk pemasaran, mereka boleh guna kamera. Dari segi peralatan, sebab itu ada studio. Mungkin usahawan yang agak kukuh boleh guna pakai. Walaupun mereka berpengkalan di luar bandar, tetapi dapat menggunakan kemudahan yang ada untuk memasarkan produk mereka ke peringkat yang lebih jauh”, katanya.

Hijrah Selangor turut merancang memperluaskan model hab berkenaan ke beberapa daerah lain termasuk Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

Tambahnya, pelbagai program berkaitan pemasaran digital, e-dagang, literasi kewangan, pembangunan perniagaan serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan turut dirancang sepanjang tahun.

Beliau berkata demikian selepas Hijrah Innovation & Growth Hub (HIGHub) di Sungai Besar, Selangor.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.