
KINTA, 13 Jun – Kerajaan yakin pihak berkuasa mempunyai mekanisme terbaik bagi menguruskan isu pelarian Rohingya di negara ini secara berhemah dan berlandaskan undang-undang sedia ada.
- Tindakan mesti mengambil kira aspek keselamatan, kedaulatan negara dan tanggungjawab kemanusiaan.
- Isu perlu ditangani secara menyeluruh, tidak bertindak emosional, ikut lunas undang-undang dan saluran rasmi.
- Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap individu yang melanggar undang-undang atau mengancam keselamatan; penempatan dan pekerjaan perlu diteliti.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, setiap tindakan perlu mengambil kira aspek keselamatan dan kedaulatan negara, selain tanggungjawab kemanusiaan.
Pihak berkuasa ketika ini sedang meneliti pelbagai langkah bagi memastikan isu berkenaan dapat ditangani secara menyeluruh tanpa menimbulkan masalah baharu.
“Kita tak boleh bertindak dengan emosional dalam hal ini saya tahu memang ada kesakan dan juga tuntutan daripada masyarakat bimbangan mereka tentang pertambahan dan kepercambahan kelompok ini tetapi ianya mesti diuruskan mengikut lunas dan juga saluran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sesi 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Rambutan, di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu dalam kalangan komuniti itu yang melanggar undang-undang atau mengancam keselamatan negara.
Isu penempatan dan pekerjaan komuniti Rohingya perlu diteliti secara menyeluruh kerana melibatkan interaksi dengan masyarakat setempat serta pihak berkaitan.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kerajaan akan menguruskan isu pelarian Rohingya secara seimbang dengan mengambil kira aspek keselamatan negara dan pertimbangan kemanusiaan.