Kemerosotan ekonomi, pelajar universiti Indonesia adakan demonstrasi tuntut penyelesaian kerajaan

Foto REUTERS

JAKARTA, 12 Jun – Ratusan pelajar dari pelbagai universiti di sekitar Jakarta mengadakan demonstrasi besar-besaran disini bagi mendesak kerajaan Indonesia memperbaiki semula hala tuju polisi pentadbiran susulan kemerosotan ekonomi negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelajar membantah pembaziran belanjawan dan kenaikan mendadak harga bahan api tidak bersubsidi.
  • Tuntutan termasuk pembatalan program makanan percuma bernilai berbilion kerana dakwaan pembaziran dan kes keracunan makanan.
  • Aksi tercetus dengan ribuan polis dikerah, berlaku tolak-menolak; protes berlaku ketika Rupiah jatuh dan pasaran saham rugi hampir sepertiga.

Perhimpunan aman yang diadakan di kawasan mercu tanda Bulatan Hotel Indonesia itu menyaksikan para pelajar membantah pembaziran belanjawan negara serta kenaikan mendadak harga bahan api tidak bersubsidi.

Perhimpunan tersebut memaksa ribuan anggota polis termasuk pasukan antirusuhan dikerahkan ke lokasi.

Kumpulan penunjuk perasaan turut menuntut pembatalan program pemberian makanan percuma sekolah bernilai berbilion dolar yang sebelum ini menerima kritikan hebat kerana didakwa membazir, selain dikaitkan dengan beberapa kes keracunan makanan.

Para pelajar berkenaan berarak dengan membawa sepanduk yang tertulis perkataan “Indonesia Muflis” dan “Bunyikan hon anda jika anda penat menjadi rakyat Indonesia” sebagai simbolik protes terhadap kos sara hidup yang semakin meningkat.

Seorang peserta demonstrasi, Muhammad Nur Asla Junior berkata, pihak pentadbiran sewajarnya bersikap telus dengan mengakui kegawatan ekonomi yang dialami.

“Sebut sahaja yang kita sedang krisis, akui negara kita dalam kesusahan, dan kemukakan dasar yang benar-benar boleh membantu atau memulihkan apa yang sedang berlaku sekarang,” katanya kepada AFP.

Protes berkenaan dilaporkan terjejas seketika ekoran insiden tolak-menolak antara sekumpulan pelajar dan pasukan polis antirusuhan yang mengawal ketat laluan daripada memasuki kawasan keselamatan di sekitar istana kerajaan.

Demonstrasi itu tercetus ketika ekonomi Indonesia dilaporkan terus merosot dengan nilai mata wang Rupiah menjunam ke paras terendah dalam sejarah dengan melepasi angka 18,100 berbanding satu dolar AS minggu ini.

Selain itu, pasaran saham negara berkenaan dilaporkan kehilangan hampir satu pertiga daripada nilainya sepanjang tahun ini. dan mencatatkan prestasi global terburuk ketika kadar inflasi tahunan bagi bulan Mei mencecah 3.08 peratus. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.