Iran kekal kuasai Selat Hormuz di bawah draf perjanjian damai dengan AS

Foto REUTERS

TEHRAN, 12 Jun -Iran menegaskan tidak akan menyerahkan penguasaan strategik ke atas Selat Hormuz kepada mana-mana pihak di bawah draf perjanjian damai terbaharu yang sedang dirangka bersama Amerika Syarikat (AS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Setiap kapal asing mesti mendapat kebenaran rasmi tentera Iran sebelum dibenarkan melintasi Selat Hormuz.
  • Trump mendakwa membatalkan serangan udara dan membayangkan perjanjian menamatkan perang bakal ditandatangani dalam beberapa hari.
  • Draf perjanjian bakal menamatkan peperangan di semua kawasan termasuk Lubnan.
  • Draf menetapkan penggantungan sekatan minyak, pembebasan aset AS$24 bilion, dan penamatan sekatan maritim AS.

Agensi berita rasmi IRNA melaporkan, Tehran tidak membuat sebarang komitmen dalam teks perjanjian itu untuk melepaskan pengurusan laluan maritim global tersebut, mahupun mengembalikan status quo sebelum berlakunya pencerobohan ketenteraan oleh AS dan Israel pada akhir Februari lepas.

Laluan perkapalan penting dunia itu berada di bawah kawalan penuh tentera Iran sejak meletusnya konflik bersenjata, di mana setiap kapal asing diwajibkan mendapatkan kebenaran rasmi daripada angkatan tentera republik itu sebelum dibenarkan melintasi selat berkenaan.

Kenyataan media rasmi itu menyusul bagi mengulas pengumuman Presiden AS Donald Trump semalam, yang mendakwa beliau telah membatalkan serangan udara ke atas Iran dan membayangkan satu perjanjian bagi menamatkan perang bakal ditandatangani dalam masa beberapa hari lagi.

Bagaimanapun, Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei menegaskan bahawa pihaknya masih “belum mencapai kesimpulan muktamad” mengenai keseluruhan teks perjanjian tersebut.

Sementara itu, agensi berita Mehr mendedahkan butiran draf perjanjian komprehensif yang sedang diperhalusi itu bakal menamatkan peperangan di semua kawasan termasuk Lubnan.

Selain itu, draf berkenaan turut menetapkan tempoh 60 hari bagi rundingan semula program nuklear Tehran.

Draf tersebut turut menggariskan syarat penggantungan sekatan ke atas jualan minyak dan produk petrokimia Iran, pembebasan aset bernilai AS$24 bilion yang dibekukan, serta penamatan sekatan maritim AS ke atas pelabuhan Iran yang berkuat kuasa sejak April lalu.

Selain itu, Iran menuntut AS dan sekutunya membayar ganti rugi kemusnahan perang serta membentangkan pelan pembangunan semula negara itu yang bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion

Mengenai program nuklear yang menjadi pertikaian utama Washington, IRNA memetik bahawa Iran hanya akan berunding dalam kerangka prinsip asasnya, termasuk mempertahankan hak mutlak untuk memperkaya uranium dan menyimpan bahan tersebut di dalam negara. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.