Faktor logistik antara sebab PRU Dewan Negeri Johor dan Negeri Sembilan diadakan berasingan

Foto BERNAMA 

PUTRAJAYA, 12 Jun – Faktor logistik, latihan petugas dan tahap kesiapsiagaan menjadi antara sebab utama Pilihanraya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor dan Negeri Sembilan tidak diadakan serentak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembubaran DUN Negeri Sembilan berlaku secara mengejut, menyebabkan perlunya tempoh persiapan lebih panjang.
  • SPR akan menyelesaikan PRU Johor dulu, kemudian membawa pasukan untuk membantu persiapan PRU Negeri Sembilan.
  • Isu ketidaksahihan pembubaran di luar bidang kuasa SPR, SPR telah mendapatkan pandangan AGC dan tiada isu berbangkit.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jentera di Negeri Sembilan memerlukan tempoh persediaan lebih panjang susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara mengejut.

“Di Negeri Sembilan, pembubaran secara mengejut, keadaan tidak bersedia. Kami memerlukan masa untuk mereka betul-betul fokus.

“Kita selesaikan PRU Dewan Negeri Johor terlebih dahulu, kemudian kita bawa semua pasukan (dari Johor) untuk membantu Negeri Sembilan. Kalau buat (PRU) serentak, persiapan memang tidak sempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan serta tarikh-tarikh penting PRU Dewan Negeri Johor dan Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Berhubung dakwaan ketidaksahihan pembubaran Dewan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Seri Ramlan menegaskan perkara berkenaan berada di luar bidang kuasa SPR.

Jelasnya, SPR telah mendapatkan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu pembubaran itu dan setakat ini tiada sebarang isu berbangkit.

Terdahulu, SPR menetapkan hari pengundian bagi PRU Dewan Negeri Johor pada 11 Julai, manakala PRU Dewan Negeri, Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.