
KUALA LUMPUR, 12 Jun – Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui prestasinya sepanjang separuh pertama musim ini masih belum mencapai tahap yang terbaik.
- Tidak terganggu oleh spekulasi luar mengenai kedudukannya dalam skuad kebangsaan.
- Fokus pada latihan dan memperbaiki kelemahan untuk tingkatkan prestasi secara berperingkat.
- Nafi semangatnya merosot, komited untuk kembali ke prestasi terbaik dan sasar Terbuka Jepun serta Terbuka China.
Namun menegaskan beliau tidak terganggu dengan spekulasi luar, mengenai kedudukannya dalam skuad kebangsaan.
Pemain berusia 26 tahun itu sebaliknya memberi tumpuan kepada latihan dan usaha memperbaiki kelemahan bagi meningkatkan prestasi semasa.
“Saya rasa setengah tahun ini kurang baik, tapi masih ada separuh lagi musim. Saya akan cuba jadi lebih baik,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia.
Jun Hao turut menafikan dakwaan bahawa semangat dan momentumnya semakin merosot, sebaliknya menegaskan komitmennya untuk kembali berada pada prestasi terbaik menjelang baki saingan musim ini.
Beliau kini memberi fokus kepada Terbuka Jepun dan Terbuka China bulan depan, namun tidak meletakkan sasaran khusus selain mahu memperbaiki permainan secara berperingkat.