Krisis bekalan: Amalan jimat tenaga disaran susulan perubahan pasaran global

Mazlan Ali/RTM

KUALA LUMPUR, 10 Jun- Rakyat Malaysia disaran mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemat dalam kehidupan harian susulan perubahan dalam pasaran tenaga global yang dipengaruhi perkembangan geopolitik antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Amalkan penggunaan tenaga berhemat untuk memastikan sumber lebih cekap dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
  • Kurangkan perjalanan tidak perlu, kongsi kenderaan dan elakkan penggunaan bahan api untuk tujuan tidak penting.
  • Gabungan dasar kerajaan dan amalan berhemat rakyat membantu memastikan bekalan tenaga stabil dan negara berdaya tahan.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali berkata amalan itu penting bagi memastikan penggunaan sumber lebih cekap dan berhemah.

“Apa yang perlu dilakukan ialah berhemat dalam penggunaan tenaga, mengurangkan perjalanan tidak perlu, berkongsi kenderaan dan mengelakkan penggunaan bahan api untuk tujuan yang tidak penting.

“Pada masa sama, rakyat digalakkan mematuhi saranan kerajaan termasuk bekerja dari rumah (BDR) dan mengurus perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada perkara penting,” katanya kepada RTM.

Mazlan berkata langkah tersebut membantu memastikan kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.

Beliau berkata Malaysia masih berada dalam keadaan stabil dari segi bekalan tenaga serta harga bahan api hasil dasar dan intervensi kerajaan.

“Rakyat masih menikmati harga petrol RM1.99 seliter bersubsidi dan berbanding banyak negara lain, keadaan di Malaysia masih terkawal,” katanya.

Beliau yakin gabungan dasar kerajaan dan amalan berhemat rakyat akan membantu negara kekal berdaya tahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.