Penduduk Tehran ragu ketegangan Iran-Israel berakhir

Foto REUTERS

TEHRAN, 9 Jun– Sebahagian penduduk Tehran tidak yakin ketegangan antara Iran dan Israel akan berakhir dalam masa terdekat meskipun kedua-dua negara menghentikan serangan antara satu sama lain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Punca pertikaian belum diselesaikan sepenuhnya, menyebabkan risiko pertikaian bersambung pada masa akan datang.
  • Penduduk menilai penghentian serangan sementara dan tidak menganggapnya bersifat kekal; kemungkinan pertempuran berulang wujud.
  • Konfrontasi terkini termasuk serangan peluru berpandu Iran, serangan Israel ke atas loji dan sistem pertahanan, serta amaran Tehran.

Mereka berpendapat, konflik itu masih berisiko tercetus semula kerana punca pertikaian antara kedua-dua pihak belum diselesaikan sepenuhnya.

Seorang penduduk, Mohammad Hossein berkata, beliau percaya pertempuran berkemungkinan berulang pada masa hadapan.

“Saya fikir perang ini pasti akan berterusan, sama ada cepat atau lambat kerana Israel masih boleh melancarkan serangan lagi.

Keadaan semasa dijangka terus berada dalam situasi tidak menentu dan belum menunjukkan tanda penyelesaian dalam masa terdekat,” katanya.

Seorang lagi penduduk Tehran, Nazmi turut menyuarakan kebimbangan serupa.

“Penghentian serangan ini tidak bersifat kekal dan masih ada kemungkinan pertempuran akan berulang.

Saya percaya kedua-dua pihak mungkin dapat mencapai persetujuan pada masa hadapan, namun masih terlalu awal untuk menentukan sama ada ia mampu bertahan dalam jangka panjang,” ujarnya.

Kebimbangan itu muncul sehari selepas Iran dan Israel memaklumkan mereka menghentikan serangan susulan rayuan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Bagaimanapun, Tehran memberi amaran akan menyambung semula tindakan ketenteraan sekiranya Israel terus menyerang kumpulan Hezbollah di Lubnan.

Hujung minggu lalu konfrontasi paling serius tercetus antara kedua-dua pihak sejak gencatan senjata yang dicapai pada April.

Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke arah wilayah Israel pada Ahad sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kumpulan Hezbollah di pinggir Beirut.

Israel kemudian menyerang sistem pertahanan udara Iran serta sebuah loji petrokimia yang didakwa digunakan untuk menghasilkan peluru berpandu balistik.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pula memaklumkan, pihaknya bertindak balas dengan menyerang sebuah loji di bandar Haifa yang didakwa mempunyai fungsi serupa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.