‘Prompt engineer’ dicadang di setiap NADI

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/Foto RTM

PUTRAJAYA, 8 Jun – Sekurang-kurangnya seorang jurutera arahan kecerdasan buatan (AI) atau ‘prompt engineer’ dicadang dilatih di setiap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara bagi memperkasa kemahiran teknologi AI dalam kalangan masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Melahirkan lebih ramai bakat muda yang menguasai teknologi AI secara menyeluruh dan membangunkan aplikasi serta penyelesaian digital.
  • Lebih 1,000 pusat NADI berpotensi menjadi pusat pembangunan kemahiran dan pusat melahirkan bakat tempatan.
  • Anak muda dijangka bukan sahaja menggunakan Gemini, Copilot dan platform AI lain, malah menguasai peralatan untuk membina aplikasi.
  • Inisiatif ini berpotensi mengurangkan penghijrahan ke bandar dengan menyediakan peluang kerjaya dan menjana pendapatan di komuniti masing-masing.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu bertujuan melahirkan lebih ramai bakat muda yang menguasai teknologi AI secara menyeluruh, sekali gus berupaya membangunkan aplikasi serta menawarkan penyelesaian digital kepada komuniti masing-masing.

Menurut beliau, lebih 1,000 pusat NADI yang beroperasi di seluruh negara berpotensi menjadi pusat pembangunan kemahiran dan melahirkan bakat tempatan dalam bidang AI.

“Anak muda yang memahami bukan sahaja cara menggunakan Gemini, Copilot dan pelbagai platform AI lain, malah menguasai peralatan serta teknologi AI untuk membangunkan aplikasi baharu yang mampu membantu komuniti mereka sendiri.

“Dengan kemampuan yang ada, akses internet berkelajuan tinggi, tahap pemahaman yang baik serta budaya kerja dan disiplin yang tinggi dalam kalangan anak muda, kita berharap mereka tidak perlu berhijrah ke pusat-pusat bandar untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kementerian bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.

Tambah beliau, inisiatif tersebut juga berpotensi mengurangkan penghijrahan golongan muda ke bandar-bandar besar kerana mereka mempunyai peluang untuk membina kerjaya dan menjana pendapatan di pusat NADI serta komuniti masing-masing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.