
ST. PETERSBURG, 6 Jun – Presiden Rusia, Vladimir Putin menegaskan beliau tidak melihat keperluan untuk bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky selagi perjanjian damai belum dimuktamadkan.
- Pertemuan hanya wajar jika wujud asas perjanjian jelas untuk menamatkan konflik.
- Putin menyatakan Ukraine perlu menghentikan kemaraan angkatan bersenjata Rusia sebagai syarat utama.
- Beliau menjangka perang akan berakhir apabila Rusia mencapai objektif yang ditetapkan.
- Zelensky menuduh Moscow memilih perang dan menggesa pertemuan langsung melalui surat terbuka.
Bercakap pada forum ekonomi utama Rusia di sini pada Jumaat, Putin berkata pertemuan hanya wajar dipertimbang jika terdapat asas perjanjian yang jelas bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak 2022.
“Saya tidak nampak apa gunanya bertemu. Satu-satunya perkara yang masuk akal ialah Ukraine menghentikan kemaraan angkatan bersenjata kami. Itu sahaja. Kita memerlukan perjanjian,” kata Putin.
Beliau turut menegaskan perang antara dua negara berjiran itu akan berakhir suatu hari nanti, namun hanya selepas Rusia mencapai objektif ditetapkan.
Kenyataan Putin itu mencetuskan reaksi balas Zelensky yang menuduh Moscow sekali lagi memilih jalan peperangan dan enggan menamatkan konflik.
“Malangnya, pihak Rusia sekali lagi memilih perang. Semua orang mendengar jawapan beliau (Putin). Ia adalah jawapan yang lemah. Beliau langsung tidak mahu menamatkan perang ini,” kata Zelensky.
Terdahulu, Zelensky mengeluarkan surat terbuka yang menggesa pertemuan langsung dengan Putin sebagai usaha mencari jalan penyelesaian kepada konflik berkenaan. – AFP