
TANAH MERAH, 5 Jun -Hampir dua tan beras dipercayai diseludup dariThailand dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam dua serbuan berasingan di Kampung Lalang Pepuyu, di sini, awal pagi semalam.
- Dua kereta dipercayai digunakan untuk mengangkut beras dirampas dalam dua serbuan berasingan.
- Serbuan pertama pukul 4.30 pagi menemui sebuah kereta tidak berkunci berisi 780 kilogram beras dipercayai seludup.
- Serbuan kedua sekitar 30 minit kemudian menemui sebuah kereta lain berisi 1,000 kilogram beras dipercayai dibawa masuk tanpa izin.
- Semua barangan dirampas dibawa ke balai polis, diserahkan kepada AKSPN; tiada tangkapan, kes disiasat mengikut Seksyen 20 AKSPN 1994.
Beras pelbagai jenis yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM7,120 dipercayai untuk dijual di sekitar Jeli dan Tanah Merah.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua serbuan itu membawa kepada rampasan dua kereta yang dipercayai digunakan untuk mengangkut beras berkenaan.
Beliau berkata, serbuan pertama pada pukul 4.30 pagi menemukan sebuah kereta yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah
tidak bernombor.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu tidak berkunci dan mengandungi 780 kilogram beras pelbagai jenis yang dipercayai diseludup dari Thailand.
“Rampasan pertama dianggarkan bernilai RM18,120 termasuk sebuah kereta,” katanya kepada RTM.
Ahmad Radzi berkata, kira-kira 30 minit kemudian, satu lagi serbuan di lokasi sama membawa kepada penemuan sebuah kereta yang turut ditinggalkan tanpa pemandu.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan 1,000 kilogram beras pelbagai jenis yang dipercayai dibawa masuk secara tidak sah dari negara jiran.
“Rampasan kedua dianggarkan bernilai RM14,000 termasuk sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk mengangkut beras berkenaan.
“Tiada tangkapan dibuat dalam kedua-dua serbuan kerana tiada individu ditemui di lokasi ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya.
Katanya, semua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Lalang Pepuyu sebelum diserahkan kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Negara (AKSPN) untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.