
IPOH, 5 Jun – Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Polis Perak baharu berkuat kuasa hari ini.
- Menggantikan Datuk Noor Hisam Nordin, yang dilantik Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.
- Majlis serah terima tugas berlangsung di Mes Pegawai Kanan Perak, Ipoh disaksikan Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
- Berusia 58 tahun, pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan Bukit Aman dan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.
Beliau menggantikan Datuk Noor Hisam Nordin yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas berlangsung di Mes Pegawai Kanan Perak, Ipoh disaksikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Turut diadakan majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) negeri antara Datin Wan Norazah Wanchik dan Datin Noormawati Abdul Latip.
Mohd Alwi, berkata beliau berazam untuk meneruskan visi dan misi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada aspek keselamatan serta ketenteraman awam di negeri berkenaan, selaras dengan aspirasi pucuk pimpinan pasukan.
“Dari segi transformasi bagi memancu penugasan kepolisian, kita akan berasaskan teknologi dan juga AI (kecerdasan buatan). Yang kedua adalah dari segi transformasi dan memperkasakan integriti dalam pasukan, manakala yang ketiga adalah memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat adalah pada tahap yang terbaik,” katanya.
Datuk Mohd Alwi, 58 tahun, sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan antaranya sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman dan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.