
PUTRAJAYA, 5 Jun – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara di sini.
- Istiadat diadakan bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda.
- Ketibaan Seri Paduka disambut Perdana Menteri dan diiringi penghormatan Diraja, lagu Negaraku serta tembakan 21 das meriam oleh 41 Bateri.
- Seri Paduka memeriksa perbarisan pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia.
- Perarakan lima panji mewakili regimen dan cabang ATM diakhiri dengan laungan "Daulat Tuanku" tiga kali serta bacaan doa.
Istiadat itu diadakan bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim pada pukul 8:45 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seri Paduka Baginda kemudian dipersembahkan dengan hormat Diraja, disusuli alunan lagu Negaraku serentak dengan tembakan 21 das meriam kehormatan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).
Seterusnya Sultan Ibrahim memeriksa perbarisan membabitkan pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menyusul adalah perarakan lima panji Yang di-Pertuan Agong termasuk Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, TLDM dan TUDM melibatkan kontinjen gabungan tiga perkhidmatan ATM.
Istiadat diakhiri dengan laungan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan dan bacaan doa.
Dilaksana sejak tahun 1958, istiadat itu merupakan antara acara ketenteraan paling utama dalam ATM.
Ia melambangkan taat setia ATM kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM, selain menjadi simbol penghormatan terhadap sejarah serta tradisi ketenteraan negara.