Kilang simen tanpa kelulusan di Alor Setar diarah tutup serta-merta

Foto RTM

ALOR SETAR, 4 Jun – Sebuah kilang membancuh simen dan konkrit di Hutan Kampung di sini diarah tutup serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi bersepadu dijalankan susulan aduan awam tentang pencemaran habuk, bunyi bising, getaran dan isu keselamatan.
  • Operasi melibatkan MBAS, Jabatan Alam Sekitar Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar, TNB, SADA dan polis.
  • MBAS mengeluarkan Notis Penutupan Sementara bawah Seksyen 101(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
  • Semua operasi dihentikan sehingga mendapat kebenaran pihak berkuasa; tindakan tegas akan diambil untuk lindungi kesejahteraan dan keselamatan warga.

Arahan penutupan itu dikeluarkan menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang dijalankan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) hari ini, susulan aduan awam berkaitan pencemaran habuk, bunyi bising, getaran serta isu keselamatan yang menjejaskan penduduk sekitar.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, operasi bersepadu itu turut melibatkan beberapa agensi termasuk Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jabatan Alam Sekitar Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar, Tenaga Nasional Berhad, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) serta pihak polis.

“Hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan menjalankan aktiviti tanpa kelulusan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, MBAS telah mengeluarkan Notis Penutupan Sementara di bawah Seksyen 101(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), sekali gus mengarahkan semua operasi dihentikan serta-merta sehingga mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Menurut beliau, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kualiti hidup warga bandar raya Alor Setar sentiasa terpelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.