
TEHRAN, 3 Jun – Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran semakin memuncak selepas letupan dilaporkan berlaku di Pulau Qeshm, selatan Iran yang terletak berhampiran Selat Hormuz.
- IRGC mendakwa kapal tangki minyak Iran berhampiran Selat Hormuz rosak akibat bedilan artileri Amerika yang merosakkan bahagian enjin.
- IRGC melancarkan serangan peluru berpandu ke atas kapal 'Panaya' yang didakwa milik Amerika dan Israel.
- Tehran mengesahkan serangan balas terhadap beberapa pangkalan tentera Amerika termasuk ibu pejabat Armada Kelima di Bahrain.
- Pegawai tentera kata Iran pada tahap kesiapsiagaan tertinggi, belum menggunakan sepenuhnya kekuatan ketenteraan dan memberi amaran akibat besar.
Media kerajaan Iran melaporkan letupan berlaku selepas kawasan strategik berhampiran Selat Hormuz itu didakwa menjadi sasaran serangan Amerika.
Penduduk di kawasan Suza dan Masan dilaporkan mendengar beberapa letupan kuat .
Manakala laporan awal mendapati sebuah peluru berpandu dipercayai terkena kawasan pantai tidak berpenghuni.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa sebuah kapal tangki minyak Iran berhampiran Selat Hormuz turut terkena bedilan artileri Amerika sehingga merosakkan bahagian enjin kapal.
Sebagai tindak balas, IRGC berkata, pihaknya melancarkan serangan peluru berpandu terhadap kapal “Panaya” yang didakwa milik AS dan Israel.
Iran juga mengesahkan serangan balas terhadap beberapa pangkalan tentera Amerika di rantau Asia Barat termasuk ibu pejabat Armada Kelima Amerika di Bahrain.
Pegawai kanan tentera Iran menegaskan negara itu berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Media Iran berkataTehran masih belum menggunakan sepenuhnya kekuatan ketenteraan dimiliki mereka.
Iran memberi amaran bahawa sebarang ancaman terhadap keselamatan Selat Hormuz akan membawa akibat besar kepada tentera Amerika di rantau berkenaan. – REUTERS