
RANTAU PANJANG, 3 Jun – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas dadah jenis ganja mampat dianggarkan bernilai RM3,385 yang ditinggalkan berhampiran pagar keselamatan di Pengkalan Haram Kubur malam tadi.
- Anggota menemui bungkusan plastik putih semasa rondaan pemantauan pada 11.45 malam.
- Pemeriksaan mendapati ia mengandungi ketulan ganja mampat, dirampas untuk siasatan lanjut.
- Rampasan dihantar ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
- Tiada tangkapan; dipercayai penyeludup meninggalkan barang untuk mengelak ditahan; rondaan akan dipergiatkan.
Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata rampasan pada pukul 11.45 malam Selasa ditemukan ketika anggota bertugas menjalankan rondaan pemantauan.
Beliau berkata pemeriksaan di kawasan semak berhampiran pagar keselamatan di pengkalan haram itu menemukan satu bungkusan plastik putih dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan tersebut mengandungi satu ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 1.155 kilogram dengan anggaran nilai RM3,385.
“Rampasan kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata tiada tangkapan dilakukan dalam operasi tersebut namun dipercayai penyeludup bertindak meninggalkan barang kes bagi mengelakkan ditahan selepas menyedari kehadiran anggota keselamatan yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Rondaan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi memastikan tiada sebarang pembolosan dan aktiviti penyeludupan berlaku di sempadan,” katanya.