Tiada mangsa, kerosakan dalam kebakaran loji jana kuasa di Selangau

Kebakaran berlaku di tingkat satu bangunan loji melibatkan longgokan debu arang batu serta
lapisan aluminium foil pada bahagian bawah bumbung/ JBPM Sarawak

SELANGAU, 1 Jun – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berjaya mengawal kebakaran yang berlaku di sebuah loji jana kuasa di Plan Bukut, di sini pagi tanpa melibatkan sebarang mangsa atau kerosakan pada struktur utama bangunan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan kecemasan diterima pada 9.44 pagi; anggota Balai Bomba Selangau dikerahkan.
  • Kebakaran di tingkat satu melibatkan longgokan debu arang batu dan lapisan aluminium foil di bawah bumbung.
  • Pemadaman dijalankan dengan serangan terus dan pertahanan menggunakan empat aliran hos; air dari pili bomba berhampiran.
  • Pasukan ERT loji (10 anggota) membantu operasi pemadaman dan penyejukan; operasi ditamatkan pada 5.33 petang dengan enam anggota dan sebuah FRT.

JBPM Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.44 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selangau dikerahkan ke lokasi.

“Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati kebakaran berlaku di tingkat satu bangunan loji melibatkan longgokan debu arang batu serta lapisan aluminium foil pada bahagian bawah bumbung.

“Api tidak merebak ke struktur utama bangunan mahupun sistem penghantar bahan yang terletak berhampiran,” menurut kenyataan itu.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah serangan terus dan pertahanan dengan empat aliran hos, manakala sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran lokasi.

Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) loji jana kuasa itu yang terdiri daripada 10 anggota turut membantu operasi pemadaman dan penyejukan bagi memastikan tiada lagi punca nyalaan yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 10.52 pagi sebelum pasukan bomba menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi punca nyalaan semula.

Operasi itu melibatkan enam anggota bomba bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.33 petang selepas lokasi disahkan selamat. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.