
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Lebih sembilan juta pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini mendapat perlindungan sepenuhnya daripada kesan kemalangan bukan bencana kerja menerusi skim LINDUNG 24 Jam, berkuat kuasa hari ini.
- Perlindungan LINDUNG 24 Jam diberikan secara automatik kepada semua pekerja formal sedia ada tanpa pendaftaran baharu.
- Majikan wajib mendaftarkan pekerja yang mula bekerja dan melapor selepas 1 Jun 2026 mengikut prosedur PERKESO.
- Caruman ditanggung pekerja, bermula 0.75% gaji bulanan, tertakluk siling RM6,000; majikan memotong gaji dan membayar caruman setiap bulan.
- PERKESO menyediakan lapan faedah termasuk perubatan, hilang upaya, pengurusan mayat dan pendidikan; tuntutan melalui portal LINDUNG Faedah atau pejabat PERKESO.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menerusi kenyataan memaklumkan, skim yang diperkenalkan menerusi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 itu memperuntukkan jaringan perlindungan keselamatan sosial yang lebih meluas, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.
“Pelaksanaan skim bawah PERKESO ini adalah secara automatik kepada semua pekerja formal sedia ada, tanpa memerlukan sebarang pendaftaran baharu oleh majikan atau pekerja.
“Bagi individu yang baru diambil bekerja dan melapor diri selepas 1 Jun 2026, majikan wajib mendaftarkan pekerja tersebut mengikut prosedur sedia ada melalui sistem PERKESO,” menurut kenyataan itu.
Caruman LINDUNG 24 Jam ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji bagi maksud caruman iaitu RM6,000.
Untuk permulaan, kadar caruman bagi LINDUNG 24 Jam adalah 0.75 peratus daripada gaji bulanan. Sehubungan itu, majikan bertanggungjawab untuk menguruskan potongan gaji pekerja dan melaksanakan pembayaran caruman skim ini kepada PERKESO pada setiap bulan.
Pembayaran caruman perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kesinambungan perlindungan tanpa gangguan, di samping memudahkan pematuhan oleh majikan dan pekerja.
“Menerusi skim LINDUNG 24 Jam, PERKESO memperuntukkan lapan faedah demi kelangsungan dan kebajikan pencarum, antaranya Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, serta Faedah Orang Tanggungan.
“Selain itu, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional atau Return To Work (RTW), serta Faedah Pendidikan turut diperuntukkan bagi menyokong masa depan waris,” tambah kenyataan itu.
Perluasan skim tersebut seiring dengan saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta amalan terbaik antarabangsa dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial pekerja.
Malah, usaha terbaharu dirintis PERKESO itu menjadikan jaringan keselamatan sosial di Malaysia kini lebih menyeluruh, dinamik dan relevan dengan realiti semasa pasaran buruh, selain menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam menjamin kebajikan serta kesejahteraan tenaga kerja negara.
Sebarang permohonan faedah boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal LINDUNG Faedah di pautan https://lindungfaedah.perkeso.gov.my/ atau hadir terus ke pejabat PERKESO berhampiran.