50 maut dalam letupan di depot bahan letupan Myanmar

Letupan di Kampung Kaung Tat, Namhkam mengorbankan lebih 50 orang dan mencederakan puluhan penduduk/Foto Ta’ang Women’s Organization

BANGKOK, 1 Jun – Sekurang-kurangnya 50 orang terkorban dalam satu ledakan di sebuah depot bahan letupan di timur laut Myanmar, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik laporan media tempatan pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • 70 orang dilaporkan cedera dalam insiden di Bandar Namhkam, Negeri Shan, berhampiran sempadan China.
  • Beberapa rumah kediaman rosak dan pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa di bawah runtuhan.
  • Hospital di Namhkam melaporkan kekurangan kritikal bekalan darah untuk merawat mangsa yang cedera.
  • Kumpulan TNLA mengesahkan depot itu milik mereka, menyimpan bahan letupan komersial untuk kegunaan kuari dan akan jalankan siasatan.

Menurut angka awal yang disediakan oleh perkhidmatan kecemasan, seramai 70 orang lagi mengalami kecederaan dalam insiden yang berlaku di Bandar Namhkam dalam Negeri Shan, berhampiran sempadan China.

Laporan media menyatakan bahawa letupan itu turut merosakkan beberapa buah rumah kediaman di kawasan sekitar, manakala pasukan penyelamat masih meneruskan usaha mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan.

Sementara itu, pihak hospital di Namhkam melaporkan berlakunya kekurangan kritikal bagi bekalan darah yang diperlukan untuk merawat mangsa-mangsa yang cedera.

Kumpulan Tentera Pembebasan Nasional Ta’ang (TNLA) mengesahkan bahawa bangunan yang terlibat dalam insiden berkenaan merupakan sebuah daripada depot senjata milik mereka.

Menurut kumpulan itu, depot berkenaan menyimpan bahan letupan komersial yang bertujuan untuk kegunaan di tapak kuari yang dikendalikan mereka.

TNLA turut menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat letupan itu dan mengumumkan satu siasatan menyeluruh mengenai punca kejadian akan dijalankan – BERNAMA-dpa

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.