Orang ramai sambut baik Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Orang ramai menyambut baik langkah kerajaan menguatkuasakan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang antara lain memansuhkan penggunaan kaedah kadar faedah tetap sama rata atau flat rate dalam pembiayaan sewa beli.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan perlu diberi perhatian; maklumat terperinci kepada pengguna penting supaya mereka faham apabila membuat pinjaman.
  • Institusi kewangan digesa lebih telus tentang baki pinjaman dan ambil kira bayaran tambahan untuk kurangkan prinsipal lebih cepat.
  • Kaedah pengurangan baki dan kadar faedah efektif menjadikan pembiayaan lebih telus, adil dan mengurangkan kos faedah berlebihan, terutamanya penyelesaian awal.

Bagi pesara kerajaan, Omar Ahmad, langkah tersebut dilihat mampu mengurangkan beban kewangan pengguna yang selama ini terpaksa menanggung kadar faedah yang tinggi.

Menurutnya, perubahan itu merupakan usaha positif kerajaan dalam menambah baik sistem pinjaman sewa beli, namun aspek pelaksanaan perlu diberi perhatian bagi memastikan pengguna benar-benar mendapat manfaat.

“Alhamdulillah, saya bersetuju dengan pindaan itu. Sekurang-kurangnya ada perubahan yang dilakukan oleh kerajaan, menunjukkan kerajaan mengambil berat terhadap rakyat.

“Terima kasih kepada kerajaan atas pindaan tersebut, namun yang lebih penting ialah pelaksanaan serta penyampaian maklumat yang terperinci kepada pengguna. Apabila pengguna ingin membuat pinjaman nanti, mereka faham berkenaan situasi ini,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar institusi kewangan lebih telus dalam menjelaskan baki pinjaman serta mengambil kira bayaran tambahan yang dibuat peminjam bagi mengurangkan jumlah prinsipal dengan lebih cepat.

Sementara itu, Abdul Aziz Ismail berpendapat pindaan kaedah flat rate akan memberikan ketelusan kepada pengguna, terutama mereka yang ingin membuat penyelesaian awal pinjaman.

Kaedah baharu yang berasaskan baki berkurangan membolehkan peminjam membayar faedah mengikut baki sebenar pinjaman, sekali gus mengelakkan pengguna menanggung kos faedah berlebihan.

“Penghapusan kadar rata ini memang langkah yang terbaik. Ini kerana sebelum ini, bayaran bulanan yang dibuat banyak tertumpu kepada faedah berbanding baki prinsipal. Contohnya, jika kita bayar RM100 sebulan, hanya sekitar RM10 sahaja yang mengurangkan prinsipal, manakala selebihnya adalah faedah.

“Sistem itu dikira untuk tempoh tertentu, contohnya sembilan tahun jadi faedah dibayar terlebih dahulu sehingga habis sebelum prinsipal dilunaskan. Sekiranya seseorang membuat penyelesaian awal sebelum tempoh tersebut, mereka sebenarnya telah membayar faedah yang lebih tinggi,” katanya.

Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan bermula pada 1 Jun dengan memperkenalkan kaedah pengurangan baki serta kadar faedah efektif bagi menjadikan sistem pembiayaan sewa beli lebih telus, adil dan mesra pengguna.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.