
BANDARAYA MELAKA, 31 Mei – Kementerian Komunikasi akan memastikan semua platform media sosial mengambil tanggungjawab terhadap iklan berbayar (‘sponsored advertisement’) yang terdapat di platform media sosial masing-masing.
- RMC di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 mewajibkan verifikasi identiti pengiklan; peraturan berkuat kuasa 1 Jun.
- Platform perlu melaksanakan proses pengesahan supaya identiti pembayar iklan tajaan dapat dikenal pasti.
- Kekurangan maklumat pengiklan menyukarkan tindakan ke atas kandungan tajaan, lalu RMC meletakkan tanggungjawab kepada platform.
Tegas Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, pihaknya mewajibkan semua platform media sosial mengesahkan identiti mereka supaya tidak berlaku penipuan dalam talian.
Katanya, ia merupakan tanggungjawab di bawah Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang akan berkuat kuasa esok (1 Jun).
“Seperti Facebook sekarang, kita banyak melihat kandungan tajaan (sponsored post). Namun, setakat ini agak sukar untuk kita mengambil tindakan terhadap kandungan tersebut kerana kita tidak mengetahui pihak yang sebenarnya membayar Meta untuk mempromosikan hantaran berkenaan.
“Justeru, melalui RMC, kita meletakkan satu tanggungjawab kepada platform supaya mereka melaksanakan proses pengesahan dan memastikan identiti pengiklan dapat dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Banda Hilir di Taman Laksamana Cheng Ho, di sini.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan.