Qisya terharu, laksana ibadah korban pertama

Putri Qisya Nur Izza

JERLUN, 30 Mei – Pemuda Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jerlun menyumbangkan satu bahagian daging lembu buat Putri Qisya Nur Izza, 13 tahun yang menjadi yatim piatu dan waris tunggal sejak tahun lalu selepas kehilangan ibu bapa dan adik beradiknya dalam kemalangan yang menyayat hati di Sg Korok, Jitra.

RINGKASAN BERITA AI
  • Qisya terharu dapat menunaikan ibadah korban pertama dan mengucapkan terima kasih kepada Pemuda UMNO.
  • Walau sedih, Qisya percaya setiap kejadian ada hikmah dan berharap akan bertemu semula di akhirat.
  • Qisya merayakan Aidilfitri dan Aidiladha bersama nenek, Nazirah Ismail, serta saudara-mara terdekat.
  • Pemuda UMNO anggap Qisya anak angkat dan memantau pendidikan; kini belajar di MRSM Kubang Pasu melalui tawaran Timbalan Perdana Menteri.

Mesra disapa adik Qisya, dia melahirkan perasan terharu dengan pemberian itu dan ianya adalah ibadah korban yang pertama dilakukannya bersempena dengan Aidiladha pada tahun ini.

“Qisya sangat terharu kerana berpeluang menunaikan ibadah korban pada tahun ini. Qisya nak ucapkan terima kasih kepada Pemuda UMNO kerana sudi memberi peluang untuk Qisya melaksanakan korban.

“Perasaan itu sudah tentu sedih, tetapi bagi Qisya, setiap yang berlaku ada sebabnya dan pasti ada hikmah di sebaliknya. Mungkin sekarang kami terpisah, sama ada di sini atau di sana, tetapi siapa tahu, suatu hari nanti kami akan bertemu semula, mungkin di akhirat,” katanya ketika ditemui RTM di sini.

Meskipun hampir setahun peristiwa itu berlalu, Qisya hanya merayakan Aidilfitri dan Aidiladha bersama neneknya, Nazirah Ismail 67 tahun serta saudara-mara terdekat.

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jerlun, Nazri Arshat berkata adik Qisya merupakan anak angkat pergerakan itu dan pihaknya sentiasa memantau aspek pendidikan serta keperluan semasa.

“Alhamdulillah, adik Qisya kini sedang melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kubang Pasu menerusi tawaran yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini,” katanya.

Dalam tragedi itu, bapa Putri Qisya Nur Izza, Mohd Azim Izat Ishak, 32 tahun dan ibunya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31 tahun bersama empat adik beradiknya meninggal dunia selepas kereta yang dinaiki terjunam ke dalam Sungai Korok, Jitra.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.