
CYBERJAYA, 30 Mei- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih di Perak sejak 23 Mei lalu memasuki hari keenam.
- JBPM tambah lapan anggota bagi mempergiatkan operasi SAR.
- Seramai 50 anggota dari pelbagai agensi terlibat dalam operasi SAR.
- Operasi belum dihentikan kerana masih terlalu awal untuk membuat keputusan, kata Ketua Pengarah JBPM.
- Jaslinda dan Mohd Hanafi alami masalah kesihatan; Jaslinda terakhir dilihat oleh Malim Gunung Perhutanan pada 24 Mei sekitar 7.30 pagi.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohamad berkata operasi berkenaan melibatkan kira-kira 50 anggota daripada pelbagai agensi.
Beliau berkata, lapan lagi anggota dihantar ke puncak gunung pagi tadi bagi membolehkan proses penggiliran pasukan penyelamat dilaksanakan.
“Berdasarkan pengalaman kita dan keadaan persekitaran yang berbeza, gunung tidak sama seperti laut. Setakat ini belum mengambil keputusan untuk menghentikan operasi. Pencarian masih diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Qurban Kasih Bersama Warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), JBPM dan Parlimen Sepang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Terdahulu, Jaslinda bersama 13 individu lain serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh.
Dalam kejadian itu, Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan sebelum berhenti, namun mangsa meneruskan perjalanan ke puncak gunung.
Kali terakhir Jaslinda dilihat oleh MGP pada 24 Mei, kira-kira pukul 7.30 pagi dan SAR dilancarkan pada hari sama sebaik menerima laporan.