
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Belanjawan 2027 menampilkan lebih banyak langkah penjimatan susulan tekanan ekonomi global yang menjejaskan fiskal negara.
- Ketidaktentuan geopolitik menjejaskan ekonomi global, menuntut perbelanjaan kerajaan lebih berhemah dan berhati-hati.
- Semua kementerian, termasuk pendidikan tinggi, diminta menilai semula perbelanjaan untuk mencari ruang penjimatan tanpa menjejaskan keutamaan.
- Dalam peruntukan sekitar RM20 bilion terdapat ruang penjimatan dalam pelbagai bidang tanpa mengganggu keutamaan penting.
- Kementerian ditekankan supaya tidak bekerja secara silo, utamakan sektor penting dan kurangkan kos tidak kritikal demi kesejahteraan rakyat.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ketidaktentuan geopolitik memberi kesan kepada ekonomi dunia, sekali gus menuntut perbelanjaan kerajaan yang lebih berhemah.
Beliau berkata, kemungkinan itu turut mengambil kira kesan rantaian ketegangan serangan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya Israel ke atas Iran yang memberi impak kepada ekonomi global termasuk Malaysia.
“Jangan kita ambil sikap sambil lewa atau meremehkan perkara ini. Apabila keputusan baharu dibuat, kita minta semua kementerian termasuk pendidikan serta pendidikan tinggi menilai semula perbelanjaan masing-masing.
“Dalam jumlah peruntukan sekitar RM20 bilion, sudah tentu ada ruang penjimatan dalam pelbagai bidang tanpa menjejaskan keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 kali ke-43 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pengurangan peruntukan tidak akan menjejaskan pendidikan dan kemudahan asas di sekolah serta institut pengajian tinggi.
“Tumpuan terhadap mutu pendidikan dan kemudahan asas di sekolah dan universiti akan terus diperkukuh tanpa gangguan,” katanya lagi.
Perdana Menteri turut mengingatkan supaya kementerian tidak bekerja secara silo dan memahami cabaran ekonomi secara makro.
Beliau berkata, semua sektor penting namun keutamaan perlu ditentukan dengan bijak termasuk mengurangkan kos tidak kritikal.
Katanya, setiap kementerian perlu memastikan perbelanjaan lebih optimum demi kesejahteraan rakyat.