
BIDOR, 29 Mei- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih di Perak memasuki hari kelima hari ini dengan tumpuan pencarian diperluaskan ke kawasan alur air serta cerun curam.
- Dron digerakkan untuk mengesan kawasan berisiko tinggi yang sukar dimasuki, menjimatkan tenaga anggota.
- Seramai 16 anggota JBPM, Perhutanan, PERHILITAN dan malim gunung dikerahkan menyusuri laluan dari Kem Sukaneka menuju Sungai Air Busuk.
- Pasukan Gerakan Am membantu operasi melalui laluan darat bagi memperluaskan pencarian di kawasan hutan dan cerun.
- Pencarian tumpu pada jejak dan bahan tinggalan ditemui 26 Mei antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata penggunaan dron turut digerakkan bagi membantu mengesan kawasan berisiko tinggi yang sukar dimasuki pasukan penyelamat.
“Kaedah ini (dron) dapat menjimatkan tenaga anggota dalam operasi di kawasan sukar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, seramai 16 anggota membabitkan JBPM, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta malim gunung digerakkan ke kawasan puncak Batu Putih dan Kem Sukaneka bagi menyusuri laluan menuju ke Sungai Air Busuk.

Pasukan Gerakan Am (PGA) turut membantu operasi melalui laluan darat bagi memperluaskan pencarian di kawasan hutan dan cerun.
Sabarodzi berkata tumpuan pencarian turut diberikan di kawasan jejak serta bahan tinggalan mangsa yang ditemui pada 26 Mei lalu di laluan antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu.
Operasi SAR turut berdepan cabaran cuaca tidak menentu serta kabus tebal di puncak gunung yang menjejaskan pergerakan udara dan darat.
Pada Ahad, Jaslinda dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih sebelum operasi SAR digerakkan secara besar-besaran oleh pasukan penyelamat.