Kilang palet musnah terbakar di Kempas

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 29 Mei- Sebuah kilang palet di Taman Perindustrian Maju Jaya, Kempas, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan awal mendapati kebakaran melibatkan keluasan kira-kira 150 x 200 kaki.
  • Operasi pemadaman masih dijalankan setakat pukul 12.00 tengah hari tadi.
  • Pemadaman berdepan kesukaran akibat tekanan air rendah; Ranhill SAJ dihubungi untuk meningkatkan tekanan.
  • Seramai 44 pegawai dan anggota dari enam balai dikerahkan membantu operasi pemadaman.

Pegawai Pengurusan Operasi Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penguasa Bomba Muhammad Zaharul Asyraf Zaharin berkata siasatan awal mendapati kebakaran melibatkan keluasan keseluruhan kira-kira 150 x 200 kaki.

Menurut beliau, proses pemadaman masih dijalankan setakat pukul 12.00 tengah hari tadi.

Kebakaran dipercayai bermula di bahagian tengah premis dan siasatan lanjut akan diteruskan selepas operasi pemadaman selesai.

Operasi pemadaman berdepan kesukaran akibat tekanan air rendah dan pihak bomba telah menghubungi Ranhill SAJ bagi meningkatkan tekanan air untuk melancarkan operasi.

Bunyi letupan kecil yang kedengaran di lokasi berpunca daripada tindak balas struktur bumbung bangunan yang mula merungkai akibat haba.

Seramai 44 pegawai dan anggota dari enam balai digerakkan ke lokasi bagi membantu operasi pemadaman kebakaran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.