
KULAI, 29 Mei- Seorang pemandu treler maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 8, Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini kira-kira 6.00 petang pada Khamis.
- Treler hilang kawalan dan melanggar belakang sebuah lori 'roro'.
- Lori 'roro' kemudian memasuki laluan bertentangan, melanggar dua kereta; seorang penumpang patah pergelangan tangan, pemandu cedera ringan.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Kulai, ACP Tan Seng Lee dalam kenyataan memaklumkan lelaki berusia 50 tahun yang memandu treler berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak keluar dan digilis kenderaannya sendiri.
Beliau berkata kemalangan berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan ke Kulai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah lori jenis ‘roro’.
Kenderaan berkenaan kemudian memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta yang menyebabkan penumpang lelaki berusia 59 tahun mengalami patah pergelangan tangan, manakala pemandu cedera ringan.
Sebuah lagi kereta turut terlibat apabila dilanggar lori ‘roro’ tersebut. Bagaimanapun, kedua-dua pemandu kenderaan lain dilaporkan selamat.
ACP Tan berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.