Sultan Selangor santuni jemaah selepas solat sunat Aidiladha

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini/BERNAMA

SHAH ALAM, 27 Mei -Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama lebih 15,000 rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Tengku Amir Shah turut mengiringi baginda, disambut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
  • Solat sunat Aidiladha diimamkan oleh Imam Besar Masjid Datuk Muhammad Farhan Wijaya.
  • Sultan Sharafuddin dan Tengku Amir Shah berkenan bersalaman dengan jemaah selepas solat sunat Aidiladha.
  • Sebanyak 28 ekor lembu termasuk seekor sumbangan Sultan dikorbankan di pekarangan masjid.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang disambut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Solat sunat Aidiladha yang bermula pukul 8.00 pagi itu diimamkan Imam Besar Masjid Datuk Muhammad Farhan Wijaya.

Selesai menunaikan solat sunat Aidiladha, Sultan Sharafuddin dan Tengku Amir Shah berkenan bersalaman dengan jemaah yang hadir.

Sementara itu, dalam khutbah bertajuk “Eiduladha: Iman dan Pengorbanan” yang dibacakan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir, umat Islam diseru menghayati Aidiladha bukan sekadar sambutan perayaan dan ibadah korban, sebaliknya sebagai simbol ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan kepada Allah SWT.

Katanya, kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail perlu dijadikan teladan dalam melahirkan insan bertakwa serta masyarakat yang bersatu hati.

Umat Islam juga diingatkan supaya melaksanakan setiap ibadah dengan penuh keikhlasan bagi memperoleh rahmat, kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Dalam pada itu, sebanyak 28 ekor lembu termasuk seekor sumbangan Sultan Sharafuddin dikorbankan dalam ibadah korban di pekarangan masjid berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.