
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi perhatian serius terhadap nasib staf Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kuarters JKR Batu 4½, Sungai Besi, yang terjejas akibat ribut.
- 57 unit kediaman rosak akibat ribut dan sedang dibaiki.
- KKR mempertimbangkan peruntukan kira-kira RM3 juta untuk membaik pulih keseluruhan kuarters.
- Sebahagian penghuni tinggal di khemah di surau; Timbalan Menteri Ahmad Maslan menyerahkan sumbangan keluarga mangsa.
Kejadian ribut pada petang Isnin itu mengakibatkan 57 unit kediaman mengalami kerosakan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kementerian akan mempertimbangkan peruntukan kira-kira RM3 juta bagi membaik pulih kerosakan kuartes berkenaan.
“57 buah rumah rosak dan sedang dibaiki. Sebahagian penghuni kini tinggal di khemah dalam bangunan surau. RM3 juta diperlukan untuk baiki keseluruhan.
“Ada 150 kuarters rumah teres selain rumah apartmen di kawasan ini. KKR akan memberi pertimbangan terhadap kelulusan sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan selepas melawat lokasi kejadian hari ini.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban serta membantu persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha.