
KAJANG, 26 Mei – Polis masih belum dapat merakam keterangan daripada isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na’imah Abdul Khalid serta dua anaknya berhubung siasatan dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
- Toh Puan Na’imah dan dua anak masih berada di luar negara sejak siasatan dimulakan.
- Polis telah merakam percakapan 17 individu di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
- Kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan polis menunggu maklum balas.
- Toh Puan Na’imah menafikan dakwaan penglibatan dalam plot menjatuhkan kerajaan.
Keadaan itu susulan ketiga-tiga individu berkenaan masih berada di luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata, semakan mendapati Toh Puan Na’imah bersama dua anaknya tidak berada dalam negara sejak siasatan dijalankan awal tahun ini.
“Setakat ini, polis telah selesai merakam percakapan 17 individu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan dan nasihat lanjut dan polis kini sedang menunggu maklum balas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Toh Puan Naimah didakwa terlibat dalam plot untuk menjatuhkan kerajaan yang membabitkan agensi media antarabangsa serta individu berpengaruh, namun beliau menafikan dakwaan tersebut.