Hubungan China-Serbia diperkukuh, fokus infrastruktur dan teknologi

Foto AFP

BEIJING, 26 Mei – China dan Serbia perlu berganding bahu menempuh jalan berkongsi nasib serta kemakmuran bersama, sekali gus meningkatkan perkongsian strategik komprehensif kedua-dua negara ke tahap baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • China menyokong Serbia mengekalkan hala tuju pembangunan sendiri dan berkongsi pengalaman pentadbiran negara.
  • Pelan tindakan BRI jangka pertengahan, pengukuhan infrastruktur pengangkutan dan tenaga, dan penerokaan AI, ekonomi digital serta tenaga hijau.
  • Manfaatkan pengecualian visa, perjanjian perdagangan bebas dan penerbangan terus untuk memperluas pertukaran kebudayaan, pendidikan, sukan dan pelancongan.
  • Meningkatkan koordinasi antarabangsa, mengamalkan multilateralisme dan memperkukuh kerjasama serantau demi keamanan, keadilan serta dunia multipolar.

Perkara itu dinyatakan Presiden China Xi Jinping ketika bertemu rakan sejawatannya dari Serbia, Aleksandar Vucic, di Beijing pada Isnin.

Xi berkata China menyokong Serbia mengekalkan hala tuju pembangunan yang sesuai dengan keadaan negaranya sendiri, selain bersedia meningkatkan perkongsian pengalaman dalam pentadbiran negara dengan Serbia.

Beliau menyeru kedua-dua pihak melaksanakan pelan tindakan jangka pertengahan bagi kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), memperkukuh kerjasama dalam infrastruktur pengangkutan dan tenaga, selain meneroka kerjasama dalam sektor baharu muncul seperti kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, tenaga hijau dan pembuatan canggih.

Xi berkata kedua-dua negara juga perlu memanfaatkan dasar pengecualian visa, perjanjian perdagangan bebas dan penerbangan terus untuk memperluas kerjasama yang menyeluruh dalam bidang kebudayaan, pendidikan, sukan, pelancongan dan lain-lain.

Beliau berkata dalam menghadapi situasi antarabangsa yang penuh cabaran, China dan Serbia perlu terus meningkatkan koordinasi dan sinergi dalam urusan antarabangsa, mengamalkan multilateralisme sejati serta menyumbang kepada pembentukan dunia multipolar yang sama rata dan teratur, selain globalisasi ekonomi yang terangkum dan memberi manfaat kepada semua.

Sementara itu, Vucic berkata Serbia mahu memperkukuh sinergi dengan China bagi memajukan kerjasama BRI berkualiti tinggi, melaksanakan projek-projek mega, merapatkan pertukaran sosiobudaya dan mendorong hubungan dua hala yang menghasilkan lebih banyak pencapaian substantif.

Beliau turut memuji China sebagai negara besar yang sentiasa menghormati dan melayan negara kecil secara sama rata, selain mematuhi undang-undang antarabangsa sehingga menjadi contoh kepada dunia.

Vucic berkata Serbia bersedia untuk terus meningkatkan kerjasama pelbagai hala dengan China bagi memelihara keamanan dan keadilan antarabangsa.-BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.