
BALING, 24 Mei – Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang ditemukan maut di dalam sebuah kereta di tepi jalan Simpang Tiga, Tawar, di sini semalam (Sabtu), didapati mempunyai 20 rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
- Kenderaan Proton Wira dilaporkan hilang di Pendang.
- Unit forensik IPK Kedah menjalankan pemeriksaan; mayat dihantar ke HSB untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai Mati Mengejut (SDR).
- Polis menasihati orang ramai agar tidak berspekulasi dan diminta hubungi Ketua Balai Tawar SM Hafeedz Amil untuk maklumat.
Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Brandon Anak Richard Joe berkata, siasatan awal turut mendapati kenderaan jenis Proton Wira yang dinaiki mangsa merupakan sebuah kenderaan yang dilaporkan hilang di Pendang.
Beliau berkata, pihak polis menerima laporan berhubung penemuan mangsa di dalam kenderaan berkenaan pada pukul 11.35 pagi.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati kenderaan tersebut berada dalam keadaan berkunci dengan seorang lelaki di dalamnya dipercayai telah meninggal dunia.
“Pihak Bomba dan Penyelamat kemudian dipanggil ke tempat kejadian bagi membantu membuka pintu serta mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Brandon berkata, sepasukan pegawai dari Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan forensik.
Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR), manakala kenderaan tersebut dirampas untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ketua Balai Polis Tawar, SM Hafeedz Amil di talian 017-5588637 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.