PGA bongkar 10 tong diesel dalam ‘stor zink merah’

PGA bongkar stor zink merah disyaki transit diesel seludup/Foto PGA

RANTAU PANJANG, 23 Mei – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 10 tong berisi minyak diesel dianggarkan bernilai hampir RM1,000 dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Lubok Gong semalam (Sabtu).

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan dijalankan dalam Op Taring Wawasan Kelantan oleh Strike Force Kompeni B, Batalion 7 PGA sekitar pukul 13:30.
  • Pemeriksaan di 'Stor Zink Merah' menemui tong berisi diesel dipercayai transit sementara untuk diseludup ke Thailand.
  • Tiada individu ditemui di dalam stor dan pemeriksaan sekitar tidak menjumpai barangan salah lain.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, rampasan diserahkan kepada KPDN Pasir Mas; rondaan dipergiatkan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu dilakukan anggota Strike Force Kompeni B Batalion 7 PGA kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

Beliau berkata pemeriksaan di stor dikenali sebagai ‘Stor Zink Merah’ itu menemukan 10 tong pelbagai warna mengandungi kira-kira 200 liter minyak diesel yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

“Tiada individu berada di dalam stor semasa pemeriksaan dijalankan dan pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar tidak menemukan sebarang barangan salah lain.

“Siasatan awal mendapati stor terbabit dipercayai dijadikan transit sementara untuk menyimpan minyak diesel sebelum diseludup ke negara jiran,” katanya kepada RTM.

Ahmad Radzi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata rondaan serta pemeriksaan di stor dan pangkalan haram akan terus dipergiatkan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.