Indonesia perhebat projek akuakultur, perkukuh keselamatan makanan dan eksport

Pusat Ternakan Udang Kawasan (BUBK) di Kebumen, Jawa Tengah/Foto DETIK.COM

JAKARTA, 23 MEI – Indonesia mempergiat usaha dalam mengukuhkan keselamatan makanan dan sara diri menerusi pengembangan projek akuakultur berskala besar dan projek produktif lain untuk meningkatkan penciptaan pekerjaan dan hasil eksport.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan membangunkan projek ternakan udang dan ikan di beberapa wilayah: Waingapu (2,000 ha), Gorontalo (200 ha), Pantura, Jawa Barat (1,000 ha).
  • Projek ternakan udang Kebumen menghasilkan sehingga 40 tan sehektar dan menggaji kira-kira 650 pekerja tempatan.
  • Indonesia telah mencapai sara diri dalam beras, jagung dan telur ayam; sasaran sara diri daging dalam empat hingga lima tahun.
  • Kerajaan merancang mempercepat projek produktif dalam beberapa bulan bagi mewujudkan pekerjaan, nilai tambah, kekayaan negara dan peningkatan pendapatan rakyat.

Presiden Prabowo Subianto berkata kerajaan sedang membangunkan projek ternakan udang dan ikan di beberapa wilayah, termasuk projek seluas 2,000 hektar di Waingapu, wilayah Nusa Tenggara Timur; projek seluas 200 hektar di wilayah Gorontalo di pulau Sulawesi, dan projek ternakan ikan seluas 1,000 hektar di Pantura, Jawa Barat.

“Kita akan membangunkan projek produktif yang menjana sumber protein untuk rakyat kita dan juga untuk eksport supaya kita dapat memperoleh pertukaran mata wang asing,” katanya dalam ucapannya semasa melawat Pusat Ternakan Udang Kawasan (BUBK) di Kebumen, Jawa Tengah, pada Sabtu.

Projek ternakan udang Kebumen yang telah beroperasi kira-kira tiga tahun itu mampu menghasilkan sehingga 40 tan sehektar dan kini menggaji kira-kira 650 pekerja tempatan.

Presiden Prabowo berkata Indonesia setakat ini telah mencapai sara diri dalam beberapa komoditi makanan, termasuk beras, jagung dan telur ayam, manakala kerajaan masih berusaha ke arah mencapai sara diri daging dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Beliau berkata kerajaan merancang untuk mempercepat projek pembangunan produktif dalam beberapa bulan akan datang yang bertujuan mewujudkan pekerjaan, menjana nilai tambah, meningkatkan kekayaan negara dan meningkatkan pendapatan rakyat./BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.