Sembilan maut bangunan runtuh di Maghribi

Anggota penyelamat mencari mangsa dalam runtuhan bangunan kediaman di Al Massira, Fes pada 9 Disember lalu/Foto AFP

RABAT, 22 Mei – Sekurang-kurangnya sembilan maut manakala beberapa lagi cedera selepas sebuah bangunan empat tingkat runtuh di bandar Fez, Maghribi, awal pagi Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan kerana dikhuatiri masih terdapat mangsa terperangkap.
  • Penduduk bangunan berhampiran diarahkan berpindah sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan runtuhan susulan.
  • Fez mencatatkan beberapa insiden runtuhan sebelum ini dan pihak berkuasa mengesahkan banyak bangunan di negara ini berisiko runtuh.

Pendakwa raya bandar itu berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan kerana dikhuatiri masih terdapat mangsa terperangkap di bawah runtuhan.

Penduduk di bangunan berhampiran turut diarahkan berpindah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian runtuhan susulan.

Televisyen kerajaan Al Oula melaporkan enam mangsa berjaya diselamatkan daripada runtuhan bangunan yang dibina pada era 1980-an itu.

Seorang penduduk menyifatkan kejadian itu mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk kawasan terbabit.

Fez, bekas ibu negara Maghribi yang diasaskan sejak abad kelapan dan kini bandar ketiga terbesar negara itu, sebelum ini turut merekodkan beberapa insiden runtuhan bangunan.

Pada Disember lalu, dua bangunan runtuh di bandar itu menyebabkan sekurang-kurangnya 22 orang maut.

Dalam kejadian berasingan pada 2010, runtuhan sebuah menara masjid di bandar Meknes mengorbankan 41 orang.

Tahun lalu, Setiausaha Negara Perumahan Maghribi, Adib Ben Ibrahim, berkata kira-kira 38,800 bangunan di seluruh negara dikenal pasti berisiko runtuh. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.