
BANGKOK, 21 Mei – Puteri Bajrakitiyabha Narendira Debyavati mengalami jangkitan serius pada bahagian abdomen yang menyebabkan keadaan kesihatannya semakin merosot, menurut kenyataan Istana Diraja Thailand pada Khamis.
- Doktor mengesan sejak April 2026 jangkitan di rongga abdomen akibat keradangan kolon.
- Jangkitan menyebabkan tekanan darah rendah, degupan jantung tidak teratur dan pembekuan darah tidak normal.
- Pasukan perubatan memberikan rawatan intensif, sokongan paru-paru dan buah pinggang, antibiotik serta ubat bagi tekanan darah dan jantung.
- Status kesihatan semakin tidak stabil dan menjejaskan beberapa sistem organ, pasukan perubatan akan terus memantau dan memberi rawatan terbaik.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Biro Istana Diraja, pasukan perubatan yang merawat Puteri Bajrakitiyabha melaporkan bahawa sejak April 2026, doktor mengesan jangkitan pada rongga abdomen yang berpunca daripada keradangan kolon.
Pasukan itu berkata jangkitan berkenaan menyebabkan keadaan kesihatan puteri raja itu tidak stabil, termasuk tekanan darah rendah, degupan jantung tidak teratur serta pembekuan darah yang tidak normal.
Walaupun pasukan perubatan terus memberikan rawatan intensif dalam bentuk sokongan hayat untuk paru-paru dan buah pinggang selain pemberian pelbagai antibiotik serta ubat tambahan bagi meningkatkan tekanan darah dan mengawal degupan jantung, keadaan beliau terus merosot.
“Keadaan Puteri Bajrakitiyabha terus merosot. Ini menunjukkan jangkitan yang serius dan tidak terkawal dan menjejaskan fungsi beberapa sistem organ penting,” menurut biro itu.
Biro Istana Diraja memaklumkan pasukan perubatan akan terus memberikan rawatan terbaik yang mampu disediakan selain memantau rapi keadaan beliau.
Pengumuman terbaharu itu merupakan kenyataan rasmi ketujuh yang dikeluarkan untuk makluman umum, susulan kemas kini terdahulu pada September tahun lepas.
Puteri berusia 47 tahun itu menerima rawatan di Hospital Memorial King Chulalongkorn sejak Disember 2022 selepas rebah akibat masalah berkaitan jantung ketika melatih anjing peliharaannya di daerah Pak Chong, wilayah Nakhon Ratchasima.
Puteri Bajrakitiyabha merupakan anakanda dan puteri tunggal Raja Thailand Raja Maha Vajiralongkorn bersama isteri pertama baginda, Puteri Soamsawali. – BERNAMA