Tenis Strasbourg: Emma Navarro ke suku akhir selepas tumbangkan Iva Jovic

Foto REUTERS

STRASBOURG, 21 Mei– Emma Navarro melakar kejutan apabila bangkit menewaskan rakan senegaranya, Iva Jovic, dalam aksi sengit tiga set pada Rabu (20 Mei) untuk mencatatkan kemenangan pertama ke atas pemain kelompok 20 terbaik dunia bagi musim ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Navarro menang 6-4, 4-6, 6-1 dalam perlawanan tiga set.
  • Kemenangan menempah slot suku akhir bagi Navarro; lawan seterusnya Shuai Zhang.
  • Shuai Zhang memegang rekod pertemuan bersih 3-0 menentang Navarro.
  • Pilihan keempat Clara Tauson tersingkir awal, tewas 6-1, 7-5 kepada Jaqueline Cristian.

Dalam perlawanan tersebut, Navarro memperaga aksi bertenaga untuk menang 6-4, 4-6, 6-1.

Kekalahan itu ternyata tamparan hebat buat Jovic yang hadir sebagai pilihan ketiga kejohanan, namun terpaksa akur tumbang di tangan pemain yang berada 22 anak tangga di bawahnya dalam pertemuan sulung antara kedua-dua pemain tersebut.

Kemenangan itu menyaksikan Navarro, 25 tahun, menempah slot ke peringkat suku akhir dan bakal berdepan wakil China, Shuai Zhang.

Setakat ini, Zhang memegang rekod pertemuan bersih 3-0 menentang pemain Amerika Syarikat (AS) itu.

Dalam pada itu, nasib malang turut menimpa pilihan keempat kejohanan dari Denmark, Clara Tauson, yang tersingkir awal selepas tunduk straight set 6-1, 7-5 di tangan pemain Romania, Jaqueline Cristian.

Kekalahan kepada Cristian yang menghuni ranking ke-33 dunia itu menyaksikan Tauson kini hanya mencatatkan satu kemenangan daripada empat perlawanan terakhirnya, susulan tersingkir di pusingan awal dalam kejohanan di Rom dan Miami sebelum ini.

Menanti Cristian, 27 tahun, di peringkat suku akhir ialah Daria Kasatkina dari Australia. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.