
KUALA LUMPUR, 21 Mei -Negara-negara ASEAN bersetuju mempercepat pelaksanaan projek Grid Tenaga ASEAN (APG) dan Saluran Paip Gas Trans-ASEAN bagi memperkukuh keselamatan tenaga rantau ini susulan krisis bekalan global yang semakin mencabar.
- AMEM mencapai persetujuan untuk mempercepat pelaksanaan MoU tenaga yang telah dipersetujui sebelum ini.
- Tumpuan kepada memperkukuh jaringan paip gas dan pengurusan sumber tenaga sedia ada untuk perkongsian lebih berkesan.
- Pembiayaan melibatkan World Bank, Asian Development Bank, sektor swasta, Kesatuan Eropah dan pelabur antarabangsa.
- Pelaksanaan domestik dipercepat; TNB menaik taraf grid dan membina grid pintar berasaskan AI dengan pelaburan kira-kira RM40 bilion.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) baru-baru ini termasuk mempercepat pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) yang telah dipersetujui sebelum ini.
Menurut beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air , fokus utama ketika ini adalah memperkukuh jaringan paip gas ASEAN serta mengurus sumber tenaga sedia ada dalam kalangan negara anggota agar dapat dikongsi secara lebih efektif.
“Diharapkan menjelang Mesyuarat Pemimpin ASEAN akan datang, kita dapat mencapai kata sepakat dan memuktamadkan pelaksanaan objektif tersebut. Mesyuarat Pemimpin ASEAN seterusnya dijadual berlangsung pada November depan, manakala Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN akan diadakan pada Jun ini.
“Pembiayaan projek itu masih melibatkan komitmen daripada World Bank dan Asian Development Bank. Pada masa sama, semakin banyak pihak termasuk sektor swasta, Kesatuan Eropah (EU) serta pelabur dari pelbagai negara lain menunjukkan minat untuk melabur dalam projek ASEAN Power Grid,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Kepimpinan AI 2026 yang dianjurkan oleh Microsoft Malaysia, di sini.
Tambah beliau, pelaksanaan di peringkat domestik turut dipercepatkan, termasuk usaha Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaik taraf sistem grid serta membangunkan grid pintar berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), dengan pelaburan kira-kira RM40 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Fadillah memaklumkan kerajaan turut memperluas pelaksanaan tenaga solar menerusi program Projek Solar Berskala Besar 7 (LSS7).
“Kita kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan LSS5 yang telah tersedia, manakala LSS6 pula telah dibuka untuk proses tender. Pada masa sama, tender turut dibuka bagi pembangunan interkonektor gas baharu dan projek berkaitan. Selain itu, kerajaan juga sedang mempertimbangkan pelaksanaan LSS7,” katanya lagi.
Selain itu, pembangunan sistem penyimpanan bateri tenaga juga menjadi antara fokus utama kerajaan termasuk projek terbaharu TNB melibatkan kapasiti 400 megawatt di Terengganu.