
PUTRAJAYA, 21 Mei – Kementerian Ekonomi sedang meneliti konsep Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang membolehkan penilaian lebih tepat dibuat terhadap keadaan sebenar sesebuah isi rumah.
- Penilaian kelayakan bantuan akan mengambil kira pendapatan boleh guna bersih dan komitmen sebenar isi rumah, bukan semata-mata klasifikasi B40, M40, T20.
- Terdapat isi rumah berpendapatan tinggi yang masih menghadapi tekanan kewangan akibat tanggungan, kos hidup dan jurang pendapatan.
- Perbincangan masih dalaman; tiada keputusan dasar kerajaan atau Kabinet lagi, sambil memastikan polisi tidak membebankan rakyat dalam ketidaktentuan ekonomi global.
Ia merupakan pendekatan lebih adil dan menyeluruh dalam menentukan kelayakan bantuan serta subsidi rakyat, dengan mengambil kira pendapatan boleh guna bersih dan komitmen sebenar isi rumah, berbanding hanya bergantung kepada klasifikasi tradisional B40, M40 dan T20.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, terdapat isi rumah yang dilihat berada dalam kelompok berpendapatan tinggi, namun masih berdepan tekanan kewangan disebabkan tanggungan dan kos kehidupan yang berbeza.
“Sebab perkiraan itu dibuat berdasarkan keadaan sebenar kehidupan dan komitmen seseorang, termasuk tempat tinggal, jumlah anak serta jurang pendapatan.
“Oleh itu, perbincangan ini mengambil kira kewajaran kehidupan individu tersebut dari sudut tanggungan yang bersifat spesifik,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi, di sini.
Akmal menegaskan, perbincangan tersebut masih di peringkat dalaman dan belum melibatkan sebarang keputusan dasar kerajaan mahupun Kabinet.
Tambah beliau, pendekatan yang lebih dinamik diperlukan supaya sebarang keputusan ekonomi pada masa hadapan tidak membebankan rakyat, khususnya ketika keadaan ekonomi global masih tidak menentu.