Piala Dunia Sepak Takraw 2026: Malaysia gagal ke akhir, prestasi pemain di bawah tahap sebenar

Ketua Jurulatih Sepak Takraw Negara Ahmad Jais Baharun/RTM

KUALA LUMPUR 19 Mei – Prestasi kurang memberangsangkan dipamerkan skuad sepak takraw negara apabila tewas kepada Myanmar dalam acara regu pada separuh akhir Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua jurulatih berkata aksi pemain hari ini jauh daripada tahap sebenar mereka.
  • Prestasi keseluruhan di bawah kemampuan biasa, sekali gus memberi kelebihan kepada pihak lawan.
  • Pihak lawan lebih banyak meraih mata melalui servis; pemain kita melakukan beberapa kesilapan servis.
  • Ahmad Jais mahu pasukan bangkit dan kekal yakin dalam acara berpasukan; kekalahan bukan penamat.

Ketua Jurulatih Sepak Takraw Negara Ahmad Jais Baharun berkata, aksi yang dipamerkan pemain pada perlawanan hari ini jauh daripada tahap sebenar mereka.

Jelasnya, prestasi keseluruhan pemain Malaysia berada di bawah kemampuan biasa sekali gus memberi kelebihan kepada pasukan Myanmar untuk menguasai permainan.

“Jika dilihat daripada segi pungutan mata kedua-dua pasukan, jelas Myanmar lebih banyak meraih mata menerusi serangan servis.

“Sebaliknya, apabila pasukan kita memperoleh mata melalui servis, terdapat beberapa kesilapan atau ‘fault’ yang dilakukan. Itu antara faktor yang membezakan prestasi Malaysia dan Myanmar dalam perlawanan ini.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, perkara paling penting ialah pemain perlu sedar bahawa perjuangan masih belum selesai dalam acara antara regu. Kami perlu bangkit semula untuk memburu kejayaan dengan aksi yang lebih konsisten dan mantap pada perlawanan esok,” kata beliau kepada media selepas perlawanan.

Walau bagaimanapun, Ahmad Jais masih menaruh harapan tinggi dalam acara berpasukan kerana yakin anak buahnya mampu bangkit bagi memastikan kejuaraan menjadi milik Malaysia.

Tambah beliau, kekalahan tersebut bukan penamat buat skuad negara untuk terus mempamerkan persembahan yang membanggakan di hadapan peminat sepak takraw tanah air.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.